Tuesday, September 29, 2009

CONTOH KARANGAN PMR

Langkah Mengatasi Kemalangan di Jalan Raya

Soalan:Kemalangan di jalan raya menyebabkan ahli keluarga kehilangan anggota yang tersayang. Tulis satu karangan tentang usaha-usaha yang perlu diambil untuk menangani masalah ini.

Sejak akhir-akhir ini, tajuk-tajuk berita seperti di atas sering dipaparkan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Fenomena ini kian kritikal dan menggusarkan fikiran masyarakat. Peratus kes kemalangan ini terus meningkat dari setahun ke setahun, terutamanya pada musim perayaan. Senario yang menggemparkan ini tidak boleh dibiar berterusan dan mesti ditangani dengan secepat mungkin.
Pada pendapat saya, kerajaan memainkan peranan penting dalam usaha penyelesaian ini. Kerajaan mesti menguatkuasakan undang-undang. Hukuman berat mesti dikenakan terhadap sesiapa yang berani melanggar peraturan di jalan raya. Bak kata peribahasa, "setinggi-tinggi terbangnya bangau, akhirnya pasti jatuh ke tanah". Tamsilnya, saya mencadangkan agar pesalah laku trafik haruslah didenda sekurang-kurangnya RM500 atau dipenjarakan selama enam bulan. Dengan ini, pengguna jalan raya tidak akan berani memperlekeh amaran kerajaan lagi.
Selain itu, kerajaan mesti memperketat tahap kelulusan ujian yang dijalankan untuk menguji pemandu kenderaan. Oleh sebab itu, usaha kerajaan mestilah berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Lesen-lesen tidak harus diberikan kepada para pemandu dengan mudah. Rentetan itu, kerajaan mesti sentiasa membiayai ongkos untuk mengadakan pelbagai kempen kesedaran. Kempen-kempen ini haruslah diadakan dengan objektif menyedarkan para pengguna jalan raya tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Inisiatif ini mampu membantu meminimumkan kemalangan di jalan raya yang terus berlaku.
Seterusnya, polis trafik mestlah menjalankan tugas dengan dedikasi. Mereka mesti menjalankan tugas masing-masing dan memberkas golongan yang melanggar undang-undang di jalan raya. Saman mesti sentiasa dikeluarkan untuk memberi amaran kepada si pelanggar peraturan jalan raya. Di samping itu, polis trafik yang amanah amat diperlukan. Mereka tidak harus menerima rasuah sebaliknya mesti bersikap adil dan saksama. Sikap berdiri di atas pagar mestilah dipraktikkan oleh anggota polis trafik. Implikasinya, polis-polis trafik juga turut memainkan peranan yang agak penting.
Lebih-lebih lagi, segenap lapisan masyarakat mesti melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Jika didapati ada pengguna jalan raya telah melanggar undang-undang seperti mengadakan perlumbaan haram dan sebagainya, kita mesti segera membuat laporan kepada pihak berkuasa. Dengan bekerjasama bagai aur dengan tebing antara polis dan masyarakat, kemalangan dapat dikurangkan.
Kata orang tua-tua, “malang tidak berbau”. Pengguna jalan raya sendiri mesti memahami maksud bidalan ini. Pengguna jalan raya mesti sentiasa memerhatikan papan-papan tanda di tepi jalan. Papan tanda yang disediakan oleh kerajaan bertujuan memastikan keselamatan para pengguna di jalan raya. Keselamatan para pengguna jalan raya pasti dapat dijamin jika arahan telah dipatuhi. Akhir sekali, pemandu kenderaan mesti sentiasa memusatkan perhatian semasa memandu. Mereka tidak harus memandu sambil membuat perkara lain seperti menggunakan telefon, bergosip dengan orang lain dan sebagainya.
Kesimpulannya, kemalangan yang di jalan raya berlaku tidak diimpikan oleh setiap orang. Bak kata pepatah, “pandu cermat jiwa selamat”. Pengguna-pengguna jalan raya mestilah mengimplementasikan kewajipan masing-masing. Dengan ini, barulah keselamatan setiap pengguna dapat dijamin. Usaha-usaha kolektif yang telah saya cadangkan mestilah dilaksanakan dengan segera. Ingat, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!”


Soalan : Sungai merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai dan perlu dijaga dengan baik oleh manusia.Jelaskan pendapat anda tentang sebab-sebab sungai tercemar dan kepentingan sungai dalam kehidupan.
[ 100 markah ]

Pencemaran sungai yang berlaku sepanjang dasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat pelosok dunia. Oleh itu, isu pancemaran sungai sudah menjadi berita basi. Kerajaan pernah mengadakan kempen-kempen seperti “Cintailah Sungai Kita” tetapi mendapat sambutan yang dingin daripada segenap lapisan masyarakat. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan meningkatnya kes ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi keempat, “pencemaran sungai” dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang mengotorkan sungai yang jernih sehingga keruh dengan pelbagai bentuk cara.
Faktor perdana yang menyumbang kepada pencemaran sungai ialah pembuangan sampah sarap oleh masyarakat. Mereka membuang apa-apa sahaja sampah sarap yang mereka ada ke dalam sungai. Fenomena ini boleh dikatakan telah menjadi satu lumrah dalam kehidupan masyarakat. Pada zaman globalisasi ini, masyarakat telah menganggap sungai sebagai sebuah tong sampah yang besar. Mereka malas untuk membuang sampah sarap tersebut ke dalam tong sampah yang sedia ada kerana perlu memakan masa yang banyak dan meletihkan mereka. Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan mudah dengan membuangkan sampah sarap tersebut ke dalam sungai yang jernih itu dan mengakibatkan sungai itu menjadi keruh. Sampah sarap yang terapung-apung di permukaan sungai itu mempunyai bahan kimia yang akan menyumbang kepada pencemaran sungai.
Selain itu, punca yang seterusnya ialah pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang ke dalam sungai. Sisa toksik dari kilang-kilang tersebut akan mencemarkan sungai dengan menurunkan pH air sungai tersebut. pH air sungai yang rendah amat berbahaya kepada manusia dan kehidupan akuatik. Kualiti kehidupan akuatik seperti ikan akan menurun kerana keadaan sungai yang tercemar tidaklah sesuai untuk ikan-ikan tersebut. Sikap sebegini yang mementingkan diri sendiri ibagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis demi kepentingan bersama.
Faktor yang seterusnya ialah tumpahan minyak oleh kapal-kapal. Hal sebegini telah lama berlaku di dalam negara kita. Sebabnya ialah tong yang mengisi minyak bagi kapal tersebut telah bocor ataupun pecah. Minyak yang jisimnya kurang daripada air akan terapung di permukaan air. Masalah ini akan menjejaskan tumbesaran bagi tumbuh-tumbuhan yang hidup di dalam sungai. Hal ini dikatakan demikian kerana minyak tersebut akan menghalang sinaran matahari daripada sampai ke tumbuh-tumbuhan tersebut. Hal ini secara langsungnya akan menjejaskan proses tumbesaran tumbuhan tersebut kerana tumbuhan itu tidak dapat menjalankan proses pemhasilan makanan.
Selain itu, sungai memainkan peranannya sebagai medium pengangkutan dan penghubungan. Berbalik kepada sejarah dahulu, pembukaan Terusan Suez telah memendekkan jarak perjalanan antara Timur dan Barat. Hal ini akan menjimatkan masa dan memudahkan perhubungan. Kawasan yang tidak dapat dihubungkan dengan jalan raya dapat dihubungkan dengan menggunakan jalan air. Keadaan ini akan memajukan sistem pengangkutan di negara kita dengan mempunyai pengangkutan darat, pengangkutan udara dan juga pengangkutan air. Hal ini dapat meyakinkan rakyat negara kita agar visi kudsi Wawasan 2020 dapat direalisasikan dan menjadi bumi Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara gergasi yang lain di persada dunia.
Seterusnya, sungai amat penting kerana membekalkan sumber air dan protein kepada manusia. Sungai amatlah penting sebagai habitat hidupan akuatik seperti ikan, ketam, dan udang. Ikan, ketam dan udang membekalkan sumber protein yang mencukupi kepada manusia. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sumber protein yang terdapat dalam ikan, ketam dan udang adalah amat tinggi. Persis kata jauhari “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”. Peribahasa ini mengingatkan manusia supaya tidak mencemarkan air sungai yang merupakan habitat hidupan akuatik dan merupakan anugerah istimewa daripada Tuhan yang akan membahagiakan kita pada hari esok agar kita tidak menyesal pada hari kemudiannya.
Secara kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu ibarat “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni” untuk mengatasi kemelut pencemaran air yang dapat diibaratkan seperti duri dalam daging kepada masyarakat dan negara. Janganlah kita membiarkan masalah ini terus bernanah di dalam negara kita. Kita haruslah menjauhkan diri daripada perbuatan mencemarkan sungai agar tidak terjadi fenomena “sudah terhantuk baru terngadah”. Marilah kita bersama-sama merealisasikan hasrat dan visi kudsi wawasan 2020. ‘Cintailah Sungai Kita’.

No comments:

Post a Comment