TAJUK
: MANFAAT AMALAN MEMBACA
Pada era globalisasi ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memupuk amalan membaca namun, budaya membaca dalam masyarakat masih rendah lagi. Melalui pembacaan, seseorang dapat memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan yang secara tidak langsung dapat membantu memajukan negara. Dengan ini, isu budaya membaca dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan. Jika budaya tersebut dibiarkan begitu sahaja hasrat masyarakat untuk menjadikan negara kita negara maju pasti akan terganggu. Pengamalan budaya membaca dalam kalangan masyarakat akan mendatangkan pelbagai faedah terhadap diri kita. Oleh itu, semua lapisan masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca kerana Membaca Jambatan Ilmu.
Memang
tidak dapat dinafikan bahawa dengan membaca, seseorang akan dapat menambahkan
ilmu pengetahuan. Hal ini kerana terdapat berbagai-bagai maklumat termasuk isu
semasa dan pengetahuan tentang kehidupan harian yang terdapat di dalam buku,
majalah dan surat khabar. Terdapat banyak bahan bacaan telah dipasarkan di pasaran.
Ibu bapa haruslah sanggup membelikan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak
dan diri sendiri. Dengan membaca, seseorang dapat meneroka pelbagai ilmu yang
dapat dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan kerana Bangsa Membaca Bangsa
Berjaya. Sewajarnya masyarakat rajin berusaha dalam memupuk amalan membaca dan
seterusnya menjayakan kempen-kempen yang telah dianjurkan oleh kerajaan tentang
amalan membaca. Pembacaan yang luas juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam
diri seseorang.
Selain
itu, membaca akan membantu menambahkan perbendaharaan kata yang kita miliki.
Hal ini kerana dengan membaca kita akan menemukan pelbagai jenis perkataan
baharu. Jika kita membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang sains kita
akan mengenali lebih banyak istilah atau kosa kata baharu dalam bidang
berkenaan seperti Anemia dan X-ray. Malah, apabila seseorang telah mengenali
banyak perbendaharaan kata, mereka akan dapat bertutur dengan lancar dalam
bahasa berkenaan. Individu itu juga akan dapat menguasai sesuatu bahasa dengan
mudah. Penguasaan perbendaharaan kata sangat berguna dalam menongkah arus
globalisasi kini.
Tambahan
pula, budaya membaca dapat membantu pelajar lulus dengan keputusan yang
cemerlang. Hal ini demikian kerana pembacaan bahan bacaan yang banyak dapat menambahkan
pengetahuan tentang sesuatu mata pelajaran. Terdapat juga mata pelajaran
tertentu yang memerlukan pembacaan yang banyak. Sebagai contoh, Bahasa Melayu,
Bahasa Inggeris dan Sejarah. Mata pelajaran tersebut memerlukan pembacaan yang
luas kerana kita akan dapat maklumat atau isu semasa yang amat berguna dalam
penulisan esei. Pembacaan boleh dilakukan di perpustakaan mahupun di rumah.
Pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang rajin membaca. Oleh itu, semua
pelajar hendaklah menjadikan tabiat membaca sebagai rutin harian agar mendapat
keputusan yang cemerlang.
Membaca
juga dapat memenuhi masa lapang kita. Masa lapang ialah masa senggang antara
dua pekerjaan. Masa lapang perlu diisi dengan perkara yang berfaedah. Kita
boleh menjadikan amalan membaca sebagai hobi kita. Selain membaca, kita boleh
menjadikan perkara lain sebagai hobi sekiranya perkara itu berfaedah. Terdapat
24 jam diperuntukkan kepada seseorang, namun masa yang singkat itu sememangnya
tidak cukup untuk kita melaksanakan pelbagai aktiviti. Dengan ini, kita
haruslah menggunakan masa lapang dengan efisien kerana masa itu emas. Sekiranya
seseorang itu tidak mempunyai masa untuk membaca, mereka boleh membaca ketika
menunggu bas. Oleh itu, sebagai insan yang begitu mengutamakan masa mereka seharusnya
mengisi masa dengan amalan membaca.
Di samping itu, budaya membaca dapat
membantu memajukan negara. Hal ini demikian kerana tokoh-tokoh yang pakar dalam
bidang tertentu dapat membantu meningkatkan ekonomi negara kita. Lanjutan itu,
negara kita dapat membangun dengan pesat. Kemajuan dalam bidang sains dan
teknologi telah menyebabkan banyak ciptaan baharu direka. Sebagai contoh, negara
Jepun yang maju dalam bidang sains dan teknologi telah mencipta pelbagai jenis
barangan yang berfungsi secara automatik. Apabila sektor-sektor dibangunkan,
ekonomi negara kita akan pesat membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Secara umumnya, negara kita akan layak bersaing dengan negara maju yang lain.
Kesimpulannya, budaya membaca banyak
mempunyai faedah kepada individu mahupun negara. Melalui membaca kita akan
dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Ilmu pengetahuan yang diperoleh itu
bukan sahaja dapat membantu seseorang mendapat keputusan yang cemerlang malah
dapat memajukan negara. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa telah
dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan
hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk
budaya membaca. Hal ini disebabkan budaya membaca perlu dipupuk sejak anak-anak
kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, semua orang
wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar masyarakat yang
celik ilmu dapat dilahirkan.