Sunday, October 7, 2012


TAJUK : MANFAAT AMALAN MEMBACA


            Pada era globalisasi ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memupuk amalan membaca namun, budaya membaca dalam masyarakat masih rendah lagi. Melalui pembacaan, seseorang dapat memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan yang secara tidak langsung dapat membantu memajukan negara. Dengan ini, isu budaya membaca dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan. Jika budaya tersebut dibiarkan begitu sahaja hasrat masyarakat untuk menjadikan negara kita negara maju pasti akan terganggu. Pengamalan budaya membaca dalam kalangan masyarakat akan mendatangkan pelbagai faedah terhadap diri kita. Oleh itu, semua lapisan masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca kerana Membaca Jambatan Ilmu.

            Memang tidak dapat dinafikan bahawa dengan membaca, seseorang akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Hal ini kerana terdapat berbagai-bagai maklumat termasuk isu semasa dan pengetahuan tentang kehidupan harian yang terdapat di dalam buku, majalah dan surat khabar. Terdapat banyak bahan bacaan telah dipasarkan di pasaran. Ibu bapa haruslah sanggup membelikan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak dan diri sendiri. Dengan membaca, seseorang dapat meneroka pelbagai ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan kerana Bangsa Membaca Bangsa Berjaya. Sewajarnya masyarakat rajin berusaha dalam memupuk amalan membaca dan seterusnya menjayakan kempen-kempen yang telah dianjurkan oleh kerajaan tentang amalan membaca. Pembacaan yang luas juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri seseorang.

Selain itu, membaca akan membantu menambahkan perbendaharaan kata yang kita miliki. Hal ini kerana dengan membaca kita akan menemukan pelbagai jenis perkataan baharu. Jika kita membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang sains kita akan mengenali lebih banyak istilah atau kosa kata baharu dalam bidang berkenaan seperti Anemia dan X-ray. Malah, apabila seseorang telah mengenali banyak perbendaharaan kata, mereka akan dapat bertutur dengan lancar dalam bahasa berkenaan. Individu itu juga akan dapat menguasai sesuatu bahasa dengan mudah. Penguasaan perbendaharaan kata sangat berguna dalam menongkah arus globalisasi kini.

Tambahan pula, budaya membaca dapat membantu pelajar lulus dengan keputusan yang cemerlang. Hal ini demikian kerana pembacaan bahan bacaan yang banyak dapat menambahkan pengetahuan tentang sesuatu mata pelajaran. Terdapat juga mata pelajaran tertentu yang memerlukan pembacaan yang banyak. Sebagai contoh, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Mata pelajaran tersebut memerlukan pembacaan yang luas kerana kita akan dapat maklumat atau isu semasa yang amat berguna dalam penulisan esei. Pembacaan boleh dilakukan di perpustakaan mahupun di rumah. Pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang rajin membaca. Oleh itu, semua pelajar hendaklah menjadikan tabiat membaca sebagai rutin harian agar mendapat keputusan yang cemerlang.

Membaca juga dapat memenuhi masa lapang kita. Masa lapang ialah masa senggang antara dua pekerjaan. Masa lapang perlu diisi dengan perkara yang berfaedah. Kita boleh menjadikan amalan membaca sebagai hobi kita. Selain membaca, kita boleh menjadikan perkara lain sebagai hobi sekiranya perkara itu berfaedah. Terdapat 24 jam diperuntukkan kepada seseorang, namun masa yang singkat itu sememangnya tidak cukup untuk kita melaksanakan pelbagai aktiviti. Dengan ini, kita haruslah menggunakan masa lapang dengan efisien kerana masa itu emas. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai masa untuk membaca, mereka boleh membaca ketika menunggu bas. Oleh itu, sebagai insan yang begitu mengutamakan masa mereka seharusnya mengisi masa dengan amalan membaca.

Di samping itu, budaya membaca dapat membantu memajukan negara. Hal ini demikian kerana tokoh-tokoh yang pakar dalam bidang tertentu dapat membantu meningkatkan ekonomi negara kita. Lanjutan itu, negara kita dapat membangun dengan pesat. Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan banyak ciptaan baharu direka. Sebagai contoh, negara Jepun yang maju dalam bidang sains dan teknologi telah mencipta pelbagai jenis barangan yang berfungsi secara automatik. Apabila sektor-sektor dibangunkan, ekonomi negara kita akan pesat membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Secara umumnya, negara kita akan layak bersaing dengan negara maju yang lain.

            Kesimpulannya, budaya membaca banyak mempunyai faedah kepada individu mahupun negara. Melalui membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Ilmu pengetahuan yang diperoleh itu bukan sahaja dapat membantu seseorang mendapat keputusan yang cemerlang malah dapat memajukan negara. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca. Hal ini disebabkan budaya membaca perlu dipupuk sejak anak-anak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, semua orang wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan.

TAJUK : PUNCA-PUNCA PENCEMARAN SUNGAI

Tajuk-tajuk berita pada masa kini acap kali menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar tempatan. Berita dan paparan media umpama ini bukan sahaja menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar tempatan, isu ini juga sering menjadi liputan media massa antarabangsa dan persidangan utama dunia.

Pencemaran yang berlaku sepanjang dasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat pelosok dunia. Oleh itu, isu pancemaran sungai sudah menjadi berita basi. Kerajaan pernah mengadakan kempen-kempen seperti “Cintailah Sungai Kita” tetapi mendapat sambutan yang dingin daripada segenap lapisan masyarakat. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan meningkatnya kes ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi keempat, “pencemaran sungai” dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang mengotorkan sungai yang jernih sehingga keruh dengan pelbagai bentuk cara.

Faktor perdana yang menyumbang kepada pencemaran sungai ialah pembuangan sampah sarap oleh masyarakat. Hal ini ghalibnya dilakukan oleh masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sungai. Mereka membuang apa-apa sahaja sampah sarap yang mereka ada ke dalam sungai. Fenomena ini boleh dikatakan telah menjadi satu lumrah dalam kehidupan masyarakat. Pada zaman globalisasi ini, masyarakat telah menganggap sungai sebagai sebuah tong sampah yang besar. Mereka malas untuk membuang sampah sarap tersebut ke dalam tong sampah yang sedia ada . Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan mudah dengan membuangkan sampah sarap tersebut ke dalam sungai yang jernih itu dan mengakibatkan sungai itu menjadi keruh dan akan menyumbang kepada pencemaran sungai.


           

Selain itu, punca yang seterusnya ialah pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang ke dalam sungai. Sisa toksik dari kilang-kilang tersebut akan mencemarkan sungai dengan menurunkan pH air sungai tersebut. pH air sungai yang rendah amat berbahaya kepada manusia dan hidupan akuatik. Kualiti kehidupan akuatik seperti ikan akan menurun kerana keadaan sungai yang tercemar tidaklah sesuai untuk ikan-ikan tersebut. Ketika ditanya tentang sebab mereka mengalirkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai, alasan yang diberi ialah mereka tidak ada pilihan lain selain mengairkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai tanpa memikirkan impaknya. Sikap sebegini yang mementingkan diri sendiri bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis demi kepentingan bersama.

Faktor yang seterusnya ialah tumpahan minyak oleh kapal-kapal. Hal sebegini telah lama berlaku di dalam negara kita. Hal ini kerana tong yang mengisi minyak bagi kapal tersebut telah bocor ataupun pecah. Minyak yang jisimnya kurang daripada air akan terapung di permukaan air. Masalah ini akan menjejaskan tumbesaran bagi tumbuh-tumbuhan yang hidup di dalam sungai. Hal ini dikatakan demikian kerana minyak tersebut akan menghalang sinaran matahari daripada sampai ke tumbuh-tumbuhan tersebut. Hal ini secara langsungnya akan menjejaskan proses tumbesaran tumbuhan tersebut kerana tumbuhan itu tidak dapat menjalankan proses pemhasilan makanan. Di negara lain seperti Jerman dan Australia, masalah tumpahan minyak ini tidak pernah berlaku dalam negara tersebut kerana mereka mempunyai kapal yang serba canggih dan tong minyak yang baik sekali.

            Seterusnya, sungai amat penting kerana membekalkan sumber air dan protein kepada manusia. Air yang diminum oleh penduduk bumi kebanyakannya datang dari air sungai. Jikalau air sungai telah tercemar, air sungai tersebut perlu dibersihkan melalui proses yang merumitkan dan memakan kos seperti yang berlaku di negara Jerman. Sungai amatlah penting sebagai habitat hidupan akuatik seperti ikan, ketam, dan udang. Tanpa air sungai, manalah datangnya ikan, ketam dan udang yang kita makan pada hari ini? Ikan, ketam dan udang membekalkan sumber protein yang mencukupi kepada manusia. Persis kata jauhari “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”. Peribahasa ini mengingatkan manusia supaya tidak mencemarkan air sungai yang merupakan habitat hidupan akuatik dan merupakan anugerah istimewa daripada Tuhan yang akan membahagiakan kita pada hari esok agar kita tidak menyesal pada hari kemudiannya.

Konklusinya, semua pihak harus berganding bahu ibarat “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni” untuk mengatasi kemelut pencemaran air yang dapat diibaratkan seperti duri dalam daging kepada masyarakat dan negara. Janganlah kita membiarkan masalah ini terus bernanah di dalam negara kita. Kita haruslah menjauhkan diri daripada perbuatan mencemarkan sungai agar tidak terjadi fenomena “sudah terhantuk baru tengadah”. Marilah kita bersama-sama merealisasikan hasrat dan visi kudsi wawasan 2020. ‘Cintailah Sungai Kita’.

 

PERIBAHASA PMR TING 1-3


SENARAI PERUMPAMAAN DAN PEPATAH TING 1- TING 3

SENARAI PERIBAHASA (PERUMPAMAAN DAN PEPATAH) YANG TERDAPAT DI DALAM BUKU TEKS TINGKATAN 1 hingga 3

BIL PERUMPAMAAN/
PEPATAH MAKNA
1 Air beriak tanda tak dalam
Banyak bercakap tanda tiada berilmu.
2 Alang-alang berminyak biar licin Berbuat sesuatu jangan kepalang tanggung.

3 Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan Kalau sudah terlanjur berbuat sesuatu, biarlah diperoleh hasil daripadanya.

4 Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan Sangat menderita kesusahan meskipun bergaji besar (beristerikan atau bersuamikan orang kaya) atau hidup miskin di negara yang kaya dan makmur.

5 Bagai air mencari jenisnya Berusaha untuk mencari ilmu dengan tidak berhenti-henti; usaha dengan tidak mengenal jerih payah.

6 Bagai ayam disambar helang Mati tanpa sakit.

7 Bagai cendawan tumbuh selepas hujan Terlalu banyak pada sesuatu masa.
8 Bagai cincin dengan permata Pasangan pengantin yang sepadan.
Contoh ayat: Suami isteri itu sama cantik sama padan seperti cincin dengan permata.

9 Bagai kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tidak mahu Hidup dalam kemelaratan.
Kerakap sebangsa sirih tetapi tidak dimakan orang.

10 Bagai layang-layang putus tali Tiada berpedoman. @ sudah putus harapan,bergantung pada nasib sahaja.

11 Bagai menatang minyak yang penuh Memelihara anak dengan penuh kasih sayang.

12 Bagai minyak dengan air Orang baik kalau duduk dengan orang jahat tidak akan menjadi jahat.

13 Bagai murai dicabut ekor Orang yang suka bercakap.
Perempuan yang suka bercakap banyak.
Contoh ayat: Suasana di dalam kelas 3P2 riuh oleh suara Nadiah yang becok bagai murai di-
cabut ekor.

14 Bagai pucuk dilancarkan Amat cepat.
15 Bagaimana acuan begitulah kuihnya; bagaimana contoh begitulah gubahannya Perangai anak biasanya mengikut orang yang mengasuhnya.
16 Baik membawa resmi padi daripada resmi lalang Tidak sombong; rendah diri.
17 Belayar sambil memapan, merapat sambil belayar Sesekali melakukan pekerjaan dua tiga maksud tercapai.
18 Belum duduk sudah berlunjur Belum memperoleh sesuatu yang dikehendaki, sudah bergirang hati atau gembira lebih dulu.

19 Berat mata memandang berat lagi bahu memikul Betapa berat kita melihat kesusahan yang dialami oleh seseorang, berat lagi penderitaan itu pada orang yang menanggungnya.

20 Berjagung-jagung dahulu sementara padi masak Sementara menunggu apa yang baik, lakukan juga perkara-perkara yang berfaedah.

21 Biar jatuh terletak, jangan jatuh terhempas Lebih baik menarik diri terlebih dahulu sebelum diberhentikan dengan tidak terhormat.

22 Biar mati anak jangan mati adat Adat yang tidak boleh dilanggar.

23 Biar putih tulang jangan putih mata Lebih baik mati daripada menanggung malu.

24 Carik-carik bulu ayam , lama-kelamaan bercantum juga Perselisihan faham antara saudara-mara dan adik-beradik tidak berpanjangan, akhirnya akan berbaik semula.

25 Diam-diam ubi berisi; diam-diam besi berkarat Orang berilmu yang berdiam diri lebih baik daripada orang diam tetapi tidak berilmu.

26 Diibaratkan sebagai condong ditumpil, lemah dianduh Memberi pertolongan kepada orang-orang di dalam kesusahan.

27 Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan Seseorang yang bercita-cita tinggi akan berusaha untuk mencapainya.

28 Genggam bara api biar sampai jadi arang Membuat sesuatu pekerjaan yang susah, hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaannya.

29 Harimau mati meninggalkan belang; manusia mati meninggalkan nama Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.
Setiap manusia akan dikenang kerana jasa dan budi yang telah dilakukan semasa hidupnya.

30 Hendak belajar berenang dapatkan itik, hendak belajar memanjat dapatkan tupai Hendak mengetahui sesuatu perkara bertanyalah kepada orang yang mahir tentang sesuatu perkara itu.
31 Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih Setiap yang berkemahuan, tentu ada jalan.
32 Ibarat burung, mata terlepas badan terkurung Tidak ada kebebasan atau kemerdekaan.
Contoh ayat: Rakyat di negara jajahan komunis itu ibarat burung,mata terlepas badan terkurung.

33 Jika ada kemenyan sebesar lutut pun, jika tidak dibakar tidak akan berbau Kepandaian hendaklah diajarkan kepada orang lain, kerana kalau disimpan akan hilang begitu sahaja.
34 Kalau tak berada-ada tak akan tempua bersarang rendah Tentu ada sebab yang tersembunyi menyebabkan sesuatu hal terjadi @ Setiap kejadian meninggalkan kesan.

35 Kalau tiada rotan akar pun berguna Sesuatu perkara yang dihajatkan sekiranya tidak dapat diperolehi memadai dengan apa yang ada.

36 Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya Kita tidak akan mendapat hasil jika tidak berusaha.

37 Kalau tidak kerana angin tidak akan pokok bergoyang Kalau terjadi sesuatu hal tentu ada sebab-sebabnya.

38 Perempuan serasan, lelaki pemalu Pegangan hidup yang tidak serupa.

39 Sebagai gembala diberi keris Orang yang mendapat sesuatu yang tidak berguna.

40 Sekali membuka pura, dua tiga hilang berbayar Sekali melakukan pekerjaan dua tiga maksud tercapai.
41 Semacam besar pacak daripada tiang Belanja lebih besar daripada pendapatan.

42 Seperti air dalam dulang Negeri yang aman sentosa.

43 Seperti api di dalam sekam Kejahatan yang dilakukan secara diam-diam atau tanpa disedari

44 Seperti aur dengan tebing Dua orang yang berkawan rapat dan saling membantu
Contoh ayat : Kita tidak boleh hidup menyendiri sebaliknya hiduplah seperti aur dengan tebing.

45 Seperti aur ditarik songsang Pekerjaan atau perkara yang sukar diselesaikan kerana sudah tersalah jalan.

46 Seperti embun dihujung rumput Tidak kekal

47 Seperti harimau menyembunyikan kukunya Orang yang menyembunyikan kelebihannya.
48 Seperti hujan jatuh ke pasir Nasihat yang tidak dihargai atau sesuatu pekerjaan yang sia-sia.
Contoh ayat: Nasihat kaunselor kepada pelajar itu tidak ubah seperti hujan jatuh ke pasir kerana kedegilannya.

49 Seperti lintah menghisap darah Meletakkan faedah yang tinggi; menipu dengan cara lemah lembut.
50 Seperti lipas kudung Selalu bergerak dengan cepat.

51 Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya Orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya.
Contoh ayat : Sekalipun beliau bergaul dengan orang kebanyakan,namun hal itu bagai ular menyusur akal takkan hilang bisanya.

52 Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran Terlalu tamak untuk mencari keuntungan hingga menyebabkan kehilangan sesuatu yang sudah dimiliki.

CONTOH PERIBAHASA POPULAR (Dalam Buku Teks BM) Tingkatan 1


Bagai aur dengan tebing/Saling bekerjasama/hidup bantu-membantu

Bagai menatang minyak yang penuh/Melakukan sesuatu dengan penuh berhati-hati

Seperti murai dicabut ekor Riuh/ bercakap tidak berhenti-henti

Seperti lipas kudung/Bergerak dengan pantas

Berjagung-jagung dahulu sementara menanti padi masak/Melakukan satu kerja sambilan sementara menunggu hasil daripada kerja utama

Indah khabar dari rupa/Gambaran yang berlebih-lebihan atau tidak benar
tentang sesuatu perkara

Jauhari juga yang mengenal manikam/Hanya seseorang yang pakar dalam sesuatu bidang
akan memahami keistimewaan sesuatu benda itu

Ukur baju di badan sendiri/Lakukan sesuatu yang sejajar dengan kemampuan
diri

Biar putih tulang, jangan putih mata/Tidak berputus asa atau pantang menyerah sehingga ke penghujung nyawa

Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga/Jangan cuba sesuatu atau menceburi sesuatu bidang sekiranya kelengkapan diri tidak mencukupi

CONTOH PERIBAHASA POPULAR (Dalam Buku Teks BM) Tingkatan 2


Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain/Usaha gigih yang berterusan akhirnya akan membawa kejayaan

Genggam bara api biar sampai jadi arang/Jangan berputus asa atau meninggalkan sesuatu
pekerjaan itu di pertengahan jalan. Sebaliknya hadapi segala cabaran hingga berjaya

Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan/Alang-alang melakukan sesuatu pekerjaan, lakukannya dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya

Bidan terjun/Seseorang yang terpaksa memikul tugas orang lain kerana desakan keadaan

Tangkai jering/Sangat kedekut

Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah/Sama taraf atau darjat

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya/Hasil tidak mungkin diperoleh tanpa usaha

Seperti embun di hujung rumput/Sesuatu yang sementara atau tidak berkekalan

Bau-bau bacang/Persaudaraan jauh

Seperti orang mengantuk disorongkan bantal/Menerima sesuatu pada masa yang tepat

CONTOH PERIBAHASA POPULAR (Dalam Buku Teks BM) Tingkatan 3


Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan/Pasti ada penyelesaian bagi mereka yang benar-benar mencuba

Seperti ikan pulang ke lubuk/Kembali ke tempat asal

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran/Gagal memperoleh perkara yang dihajati manakala perkara yang dimiliki pula terlepas tangan

Sambil menyelam minum air/Melakukan dua kerja pada masa yang sama

Tiada rotan akar pun berguna/Bergantung kepada sesuatu yang kurang sempurna
kerana sumber sebenarnya tidak ada

Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya/Darjat atau kedudukan seseorang itu tidak akan berkurangan semata-mata kerana dia merendahkan diri

Kalau tidak kerana angin masakan pokok bergoyang/Sesuatu perkara itu tidak akan diperkatakan orang jika tiada kebenarannya

Biar mati anak jangan mati adat/Sanggup berkorban apa sahaja demi mempertahanakan
adat

Ayam tambatan/Orang kuat atau orang yang menjadi harapan

Otak cair/Sangat pandai